Assalamualaikum & salam sejahtera semua :)
Terdapat sebuah
kisah semasa Perang Badar, para sahabat Rasulullah menangkap seorang anak kecil
yang merupakan pengembala kaum Quraisy. Mereka bertanyakan kepada anak kecil
itu berapakah bilangan tentera kaum Quraisy tetapi anak kecil itu tidak dapat
menjawabnya. Maka mereka pun memukul anak kecil itu. Berita ini sampai ke
pengetahuan Rasulullah, lalu Rasulullah bertemu dengan anak kecil itu dan
bertanya, “Berapakah bilangan unta yang mereka sembelih?”. Jawab anak kecil itu
“lebih kurang 9 hingga 10 ekor”. Maka Rasulullah berkata kepada para sahabat
baginda “Jumlah mereka dalam lingkungan 900 hingga 1000 orang”.
Daripada kisah
ini, kita boleh mengambil ikhtibar bahawa apabila kita berkomunikasi dengan
anak kecil, kita seharusnya menggunakan bahasa yang sesuai dengan tahap
pemikiran anak-anak kita. Janganlah kita bertanyakan sesuatu di luar batasan
pemikiran anak-anak dan kemudian memarahi mereka kerana mereka tidak dapat
menjawab persoalan kita. Cuba anda bayangkan jika seseorang berkomunikasi
dengan anda dengan bahasa yang tidak anda fahami, dan kemudian memarahi anda
apabila anda tidak dapat menjawabnya, apakah perasaan anda?
Antara cara yang
boleh digunakan untuk berkomunikasi dengan anak-anak kecil ialah dengan
menggunakan bahasa yang mudah. Sampaikan informasi satu per satu dan bukannya secara
terlalu banyak dalam satu masa. Selain itu, anda boleh menggunakan analogi yang
sesuai untuk memberi pemahaman kepada anak anda. Bercakaplah dengan nada yang
lemah lembut, kerana nada yang perlahan lebih senang difahami berbanding nada
suara yang tinggi.
Kesimpulannya di
sini, adalah penting untuk kita berkomunikasi dengan cara yang mudah dengan
anak-anak kecil. Semoga perkongsian ini dapat membantu anda dalam memperbaiki
kualiti anda sebagai ibu dan bapa. Sekian untuk kali ini. Jaga diri!
No comments:
Post a Comment