Wednesday, 5 December 2012

Sayang Diri

Assalamualaikum dan salam sejahtera :)


Seorang lelaki mengalami kebimbangan, kesedihan dan tekanan apabila teman wanitanya sering memarahinya dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya. Teman wanitanya itu juga acapkali menyatakan yang dia tidak memerlukan lelaki tersebut dalam hidupnya, tetapi lelaki itu tetap setia bersama gadis itu.

Seorang wanita yang menjadi mangsa penderaan suaminya telah dipukul, ditendang, dan dimaki hampir setiap hari, tetapi tidak sanggup untuk berpisah dan menuntut penceraian. Suaminya bukan sahaja mendera, tetapi juga mempunyai hubungan dengan perempuan lain, kaki mabuk, dan tidak memberi nafkah kepadanya dan anak-anak.

Seorang gadis bawah umur telah mengandung anak luar nikah kerana mempercayai bahawa perbuatan itu adalah bukti kasih sayangnya terhadap lelaki itu. Lelaki tersebut walaubagaimanapun enggan bertanggungjawab.

Seorang lelaki yang telah berjanji untuk meninggalkan amalannya menagih dadah, bertindak untuk kembali semula menagih apabila berjumpa dengan rakan-rakan yang lama. 


Kita sering mendengar kisah-kisah begini dalam kehidupan kita. Kita juga mungkin antara individu yang mengalami situasi yang sama. Atau mungkin juga kita mengalami situasi yang seakan-akan serupa. Situasi di mana kita gagal untuk menyayangi diri.

Mengapa saya katakan gagal menyayangi diri?

Bayangkan rakan baik anda mengalami masalah atau mendapat khabar yang buruk, apa yang akan anda lakukan?

Kebanyakan daripada kita mungkin akan menjawab "Pastinya saya akan berada di samping dia, memberi semangat kepadanya untuk terus hidup, dan meyakinkan dia bahawa untuk tidak berputus asa dan mencuba untuk berusaha lagi."

Itulah yang sebaiknya kita lakukan, membantu dan mendorong orang lain. Kita menyokong orang-orang di sekeliling kita kerana kita sayangkan mereka. Tetapi tahukah bahawa kebanyakan daripada kita gagal untuk melakukan perkara yang sama terhadap diri sendiri sekiranya kita mengalami masalah atau berhadapan dengan keadaan yang merunsingkan?

Instead of supporting ourselves like how we did to others, kita selalu bertindak di sebaliknya - mengkritik diri, memberi kata-kata yang negatif, tidak percaya diri, dan sebagainya.

"Tak mungkin aku akan capai apa yang aku nak. Aku bukannya bagus mana."
"Apalah nak jadi ngan hidup aku ni? Asek malang je."
"Siapa nak kawan dengan aku yang tak guna ni?"

 Inilah yang dimaksudkan dengan kegagalan menyayangi diri.


Sayang diri bermaksud melindungi diri kita dari ancaman-ancaman dalaman seperti kepercayaan yang negatif dan tidak membantu, dan ancaman-ancaman luaran seperti situasi-situasi yang saya gambarkan di atas.

Seorang gadis yang menyayangi dirinya akan melindungi diri dari niat buruk teman lelakinya. Dia tidak akan sewenang-wenangnya menyerahkan harga dirinya kepada orang lain. Individu yang menyayangi diri mampu membezakan kasih sayang sebenar dengan "kasih sayang" yang berniat buruk. Individu yang menyayangi diri juga akan menjaga diri agar tidak digugat orang lain.

Ada sesetengah dari individu yang tahu bahawa perbuatannya akan mendatangkan kesan buruk. Misalnya situasi penagih dadah yang saya gambarkan, dia pasti tahu akibat pengambilan dadah dan kesan pada kehidupannya. Alasan yang sering diberikan "Saya tidak tahu bagaimana nak berubah."

Sekiranya anda mengalami situasi di mana anda tahu anda perlu berubah tetapi tidak tahu bagaimana untuk berubah, ia adalah tanda-tanda bahawa anda perlu belajar untuk menyayangi diri.

Bagaimana nak sayang diri? Insya Allah kita akan berkongsi di entry akan datang :)

Jaga diri! 

 

No comments:

Post a Comment