Sunday 28 October 2012

Haha, padan muka!

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua ;)

Sepanjang hidup, kita pasti pernah melalui pengalaman di mana hati kita dilukai, terguris, dan tercalar oleh individu-individu tertentu. Kita pasti pernah berasa sedih kerana rasa dianiaya, rasa ditindas, ditipu dan sebagainya.

Apabila anda mengalami situasi sebegini, kebiasaannya apakah yang anda fikirkan atau harapkan?

a) berharap agar insan tersebut diberi petunjuk oleh Tuhan agar berubah
b) bersabar dan percaya bahawa insan tersebut tidak mempunyai niat yang jahat
c) berharap agar insan tersebut diberi balasan oleh Tuhan atas penganiayaan yang dilakukan

Fikirkan sejenak dan jawab dengan jujur kepada diri sendiri ;)

Jika anda menjawab "a" atau "b", alhamdulillah. Anda mempunyai kesihatan mental dan emosi yang baik, dan imej kendiri yang positif. Walau bagaimanapun, jika anda menjawab "c", tidak bermakna anda tidak sihat mental atau emosi. Anda mungkin berasa terlalu kecewa hingga menyebabkan anda merasakan individu itu harus menerima hukuman yang setimpal.

Inilah yang akan kita bincangkan hari ini :) semoga memberi manfaat kepada semua, termasuk diri saya sendiri.

Selain dari berharap agar individu yang menganiaya itu diberi balasan Tuhan, anda juga mungkin berasa gembira apabila menerima berita yang individu tersebut ditimpa musibah. Anda mungkin berkata "haaa..tu la. padan muka! buat kat orang lagi...kan dah terima balasan! hahaha~"

Padan muke ko! Tu la balasanyeee~~ LOL ;D


Dari mana kita belajar memilih tindakan mendoakan orang yang menganiaya kita agar menerima hukuman yang setimpal?

Manusia membina corak pemikiran melalui persekitaran. Jika kita betul-betul perhatikan keadaan di sekeliling kita, kita mungkin menyedari yang terdapat unsur-unsur yang "mengajar" kita berfikir seperti ini. Contohnya, jika kita ingat cerita-cerita dongeng nenek moyang kita, contohnya cerita si Tanggang, apabila si Tanggang menderhaka kepada ibunya, ibunya mendoakan si Tanggang menerima balasan Tuhan. Akhirnya si Tanggang menjadi batu.



Begitu juga dengan cerita-cerita dongeng mat saleh. Contohnya cerita Snow White. Ibu tiri Snow White yang banyak menganiaya Snow White akhirnya mati terjatuh gaung selepas memberi Snow White makan apple beracun.  

Semua kisah-kisah ini menggambarkan bahawa orang yang melakukan penganiayaan akan menerima balasan yang tidak baik. Kisah-kisah ini sebenarnya membawa tujuan yang baik iaitu agar kita semua menjaga tingkah laku kita dan tidak mengamalkan perbuatan yang tidak baik.

Walaubagaimanapun, terdapat ideologi lain yang diterap dalam pemikiran kita secara tidak langsung, di mana kita mula berharap agar jalan kehidupan kita akan berakhir mengikut jalan cerita-cerita ini -buat baik harus dibalas baik, dan buat jahat harus dibalas jahat. 

Selain itu, ada juga yang berpegang kepada "doa orang teraniaya dimakbul Allah". Oleh kerana rasa teraniaya, kadang kala kita merasakan yang kita ada advantage untuk mendoakan yang tak baik kepada individu itu memandangkan doa kita akan dimakbulkan. Jarang kita mencontohi sikap Rasulullah yang tidak pernah mendoakan perkara yang tidak baik kepada umatnya walaupun mereka melakukan penganiyaan yang jauh lebih teruk dari apa yang kita lalui.

Albert Ellis, seorang psychologist yang juga merupakan pengasas Rational Emotive Behavior Therapy (REBT) mengkategorikan pemikiran seperti ini sebagai pemikiran yang tidak rasional. Beliau menggelarkan pemikiran ini sebagai "musturbation".

Cuba anda bayangkan, orang yang menganiaya anda yang sepatutnya menerima balasan buruk, tetapi hidup aman bahagia dan kaya-raya. Apakah perasaan anda?

Inilah yang dimaksudkan oleh Ellis sebagai "musturbation". Pemikiran kita dikuasai oleh "must" - buat baik harus dibalas baik, dan buat jahat harus dibalas jahat. Sekiranya ia tidak berlaku, kita akan berasa kecewa, marah, dan berasa tidak adil.

Musturbation berkait dengan rules of mind - set pemikiran kita mengenai apakah yang sepatutnya berlaku jika terjadi sesuatu perkara. Sebagai contoh, bila anda mempunyai majikan yang cerewet, anda merasakan yang majikan anda seorang yang kejam kerana pada pemikiran anda seorang majikan harus bertimbang rasa. Atau mungkin ketika anda sedang beratur menaiki bas, anda berasa sangat marah apabila ditolak atau terhimpit oleh orang-orang yang turut ingin menaiki bas. Ini kerana pada pemikiran anda, kalau nak naik bas haruslah beratur.

Cuba anda kenalpasti apakah rules of mind anda ;)

Satu perkara yang perlu kita ingat, dalam kehidupan ini tidak semua perkara boleh kita kawal. Kita juga perlu tahu yang kehidupan ini jauh lebih kompleks berbanding dengan kisah-kisah dongeng yang diceritakan oleh orang-orang tua. Ellis juga menekankan mengenai konsep "acceptance" atau penerimaan diri dan persekitaran. Kita harus menerima persekitaran kita dan tidak menganggap apa yang berlaku di sekeliling kita sebagai penghalang untuk kita berjaya dalam hidup. Tanpa penerimaan ini, kita sebenarnya menghukum diri kita dengan membiarkan diri kita berasa kecewa disebabkan oleh pemikiran kita sendiri.

Apa kata kita re-evaluate our rules of mind sekiranya ia mendatangkan kesan yang negatif kepada kita? ;)

Selamat mencuba & jaga diri!

No comments:

Post a Comment